Jumat, 13 November 2009

Suatu Masa Dulu

Suatu masa dulu…
Hamba-Mu ini hanyut dalam derasnya arus kehidupan,
Begitu sibuk mengejar khayal dan impian,
Dengan harap mendapat penghormatan dan kemewahan,

Dunia yang fana’ ini menjadi matlamatku,
Cinta berteraskan nafsu menjadi buruanku,
Perihal akhiratku tiada ku endahkan,
Amaran dan larangan-Mu tiada ku hiraukan,
Azab dan seksaan-Mu tiada ku risaukan,
Syurga dan neraka seolah tiada ku fikirkan…

Sehinggalah pada suatu hari…
Engkau menguji ku dengan kegagalan,
Yang memusnahkan segala harap dan impian,
Menjadikan hamba-Mu ini bergelut dengan kesedihan…

Ya Rohman…
Di saat itu sangat sukar bagi ku menerima kenyataan,
Ku bertanya di mana kesilapan dan kesalahan,
Dan kini...
Barulah ku sedari,
Pada kegagalan ku itu,
Terselit nikmat kasih sayang-Mu, ya Rohim,
Kerana melalui kegagalan itulah aku mula mengenali-Mu,
Disebabkan kegagalan itulah aku menyedari bahawa
Dunia tidak patut dijadikan matlamat,
Cinta berlandaskan nafsu tidak patut dijadikan buruan,
Lantas aku berpaling darinya dan berlari ke arah cinta-Mu,
Hanya keredhoan-Mu sahajalah yang hendak ku raih kini...

Ya 'Adhzim...
Inginku luahkan kesyukuranku kepada-Mu,
Kerana di antara berjuta insan,
Engkau telah sudi memilih diriku yang hina dina ini,
untuk menerima taufiq dan hidayah dari-Mu
dan menghijrahkan diriku dari alam jahiliyah
ke alam uluhiyyah dan ubudiyyah...

Ya Alloh...
Aku amat berterima kasih kepada-Mu
Kerana Engkau tidak pernah membiarkan diriku terus tersesat
Dalam kehidupan yang serba sementara ini,
Meskipun ketika itu aku sering terlalai dari mengingati-Mu...
Memang tidak dapat dinafikan lagi,
Bahawa sesunggungnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…

Ya 'Aziz…
Izinkanlah aku untuk terus berada di dalam jalan-Mu ini
untuk selama-lamanya,
Janganlah Engkau kembalikan aku ke lorong gelap
yang membawa kepada kesesatan,
Ampunkanlah kejahilan dan kelalaianku selama ini,
Pimpin dan bimbinglah hamba Mu yang lemah ini ke arah cinta-Mu,
Ku mohon agar Engkau teguhkanlah tugu keimanan ku,
Benarkanlah aku untuk merasai halawatul iman,
Anugerahkanlah kepada ku kekuatan dan kesabaran,
Pekakkanlah telinga ku dari sebarang sindiran dan ejekan,
Kebalkanlah jasadku dari segala kesakitan,
Dalam menjalankan amanah yang Engkau pikulkan di bahu ku…

Ya Kholiq...
Jadikanlah setiap hembusan nafasku,
Setiap kelipan mataku,
Setiap degupan jantungku,
Setiap helaian rambutku,
Setiap bait ucap perkataanku,
Setiap hayunan tanganku,
Setiap langkah pijak kakiku
Dan setiap titisan darahku,
Hanyalah untuk-Mu…

Sebelum tiba ajalku,
Ingin ku merayu kepada-Mu,
Bukakanlah pintu hati insan di sekelilingku,
untuk mengampuni dosa-dosaku terhadap diri mereka,
Lancarkanlah lidahku untuk menjawab soalan malaikat utusan-Mu,
Luaskanlah dan terangilah tempat pembaringanku,
Meriahkanlah pusaraku dengan lantunan doa para dzurriyatku kelak,
Permudahkanlah perjalanan ku di alam seterusnya...
Curahkanlah redho-Mu terhadapku sepanjang hayatku
Dan izinkanlah hamba yang dhoif ini mengadapmu
Di dalam Jannah yang serba indah...

Dan esok, Andainya aku tidak bernafas lagi,
Sampaikanlah ucapan selamat tinggalku kepada insan yang ku sayangi,
Para sholihin, para mu’minin dan para pejuang dien ini...
Bimbinglah mereka sepertimana Engkau telah sudi membimbing diri ini,
Agar dapat ku bersua dengan mereka lagi di pertemuan yang hakiki,
Di dalam syurga yang kekal abadi...Insyaa’ Alloh!

Tidak ada komentar: